Pengikut

Jumaat, 20 Ogos 2010

Tokoh Negara kelahiran Tanjong Malim : Ahmad Boestamam

Ahmad Boestamam (30 November 1920 - 19 Januari 1983; nama asal: Abdullah Thani bin Raja Kechil) adalah seorang aktivis politik anti penjajah Inggeris. Beliau menggunakan nama Ahmad Boestamam mulanya sebagai nama pena ketika menubuhkan akhbar Suara Rakyat pada tahun 1945 di Ipoh, Perak. Nama ini lekat sebagai nama yang popular. Beliau juga pernah menggunakan nama pena Ruhi Hayat dan Jiwalara. Beliau berbakat besar dalam penulisan dan seorang pemidato yang handal. Selain daripada bergiat dalam politik, beliau juga berjaya menghasilkan tidak kurang daripada 15 buah novel. Antara bukunya ialah Sorotan Sekilas (1981), Lambaian Dari Puncak (1983), Merintis Jalan Ke Puncak (1971), Tujuh Tahun Malam Memanjang (1976), Rumah Kaca Di Gegar Gempa (1969), dan Api Dan Air Mata (1967).Beliau di anugerahkan Panglima Negara Bintang Sarawak pada tahun 1976 membawa gelaran Datuk

Dilahirkan kepada Raja Kechil, seorang petani, dan Rasiah, Ahmad Boestamam dibesarkan di Kampung Behrang Ulu, Tanjung Malim, Perak. Beliau mempunyai dua orang kakak, iaitu Rasunin dan Ramlah. Pada usia enam tahun, Beliau memasuki Sekolah Melayu Behrang Ulu, sebuah sekolah Melayu and kemudiannya, pada tahun 1933, beliau memasuki Anderson School, Ipoh. Ahmad tamat Darjah Lima dan lulus dengan Gred 1 dalam peperiksaan Kelas Melayu Khas ("Special Malay Class", SMC).

Seperti kebanyakan para aktivis politik yang sezaman dengannya, Ahmad adalah seorang wartawan akhbar yang sangat prolifik. Beliau bermula dengan akhbar Saudara di Pulau Pinang, kemudian Warta Kinta di Ipoh, Majlis di Kuala Lumpur, Utusan Melayu di Singapura dan Warta Malaya juga di Singapura. Pekerjaannya itu juga menjadikan beliau bertembung dan bergaul dengan tokoh-tokoh wartawan Melayu lain seperti Abdul Rahim Kajai, Ibrahim Haji Yaacob dan Ishak Hj. Muhammad.

Kegiatan Boestamam dalam bidang kewartawanan ini telah menyebabkan beliau terlibat dalam arus kerancakan nasionalisme Melayu yang sedang memuncak pada tahun 1930-an. Beliau telah turut sama memberi pendapat dan cadangannya bagi memperbaiki kelemahan ekonomi, sosial dan politik orang Melayu daripada tekanan kerajaan British dan saingan kaum pendatang. Walaupun tulisannya tidak setajam rakan-rakannya yang lain, tetapi beliau telah melahirkan pendapatnya dalam nada dan pendapat yang sama dengan mereka. Persamaan harapannya untuk memajukan orang Melayu sudah cukup untuk membolehkan beliau terlibat secara langsung dalam kegiatan nasionalisme orang Melayu.

Kepentingan Boestamam dalam kegiatan politik bermula dengan penglibatannya dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebagai Penolong Setiausaha semasa menjadi pemberita khas akhbar Majlis di Kuala Lumpur yang dipimpin oleh Ibrahim Haji Yaacob. Walaupun beliau hanya menjadi orang yang keempat penting dalam organisasi yang menjadi ejen Jepun, tetapi ini tidak dipandang ringan oleh kerajaan British. Ahmad dianggap sebagai seorang aktivis politik antipenjajahan yang berbakat besar.

Penangkapan Boestamam pada tahun 1941 bersama-sama dengan 150 orang anggota dan penyokong KMM memulakan kehidupan getir Boestamam sebagai seorang aktivis politik. Beliau telah menjadi lebih terdedah kepada tekanan penjajah, yang secara langsung memberi satu pemantapan kepada sikap antipenjajahannya. Ini menjadi satu mungkin kepada semangatnya untuk terus bergiat dalam politik.

Ahmad seorang perancang politik yang bijak. Beliau telah menubuhkan Gerakan Kiri Tanah Air (KITA) yang bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya dan British yang sedang berusaha memerangi tentera Jepun. Walaupun penubuhan ini dipaksakan kepadanya oleh MPAJA, tentera Parti Komunis Malaya, tetapi ia juga menjadi satu bukti kepada kerjasama Ahmad dengan kumpulan anti-Jepun. Ini boleh digunakan sebagai bukti untuk menafikan kerjasama sepenuhnya dengan Jepun.

Boestamam kemudian menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). PKM yang mahu menguasai Tanah Melayu dengan cara perlembagaan telah membentuk satu "Barisan Bersatu Malaya" untuk mempengaruhi parti-parti politik Melayu dan kesatuan sekerja India. Penyerapan unsur PKM ke dalam masyarakat ini dipercayai dapat memperkenalkan mereka dengan gagasan sosialisme dan seterusnya komunisme. Dengan itu, cita-cita untuk membentuk sebuah republik komunis di Tanah Melayu akan menjadi lebih mudah.

Dengan itu, Ahmad telah bekerjasama secara sedar dengan pihak PKM yang juga bersifat penjajahan ke atas Tanah Melayu. Ini kerana PKM adalah anak Parti Komunis China yang bekerjasama dengan Comintern, iaitu pertubuhan komunis antarabangsa yang berada di bawah pengaruh Russia.

Ahmad membenarkan PKM mempengaruhi PKMM. Ini bukan sahaja kerana pentadbiran Tanah Melayu berada di bawah penguasaan PKM, tetapi juga kerana bantuan kewangan dan pengurusan surat khabarnya, Suara Rakyat dan Voice of the People dipegang oleh PKM. Teraju utama, iaitu Presiden PKMM juga dikuasai oleh PKM, melalui Mokhtaruddin Lasso, seorang pelarian politik Parti Komunis Indonesia (PKI) yang menjadi ketua orang Melayu Regimen ke-10 MPAJA.

Akhirnya, PKM menentukan dasar politik PKMM. Dasar politik untuk melindungi dan berjuang bagi mewujudkan perasaan kebangsaan, memajukan ekonomi, pelajaran dan keadilan bagi masyarakat Melayu telah diubah oleh PKM. PKM juga telah meletakkan satu dasar yang penting yang melambangkan pembentukan sebuah bangsa "Malayan", sesuai dengan dasarnya mewujudkan Barisan Bersatu Malayan pada masa depan. Dengan itu, dasar PKMM tidak lagi bersifat Melayu seratus peratus. Ia telah disesuaikan dengan cita-cita PKM.

Ahmad menyedari hal tersebut, maka untuk mengimbangi pengaruh politik PKM, dalam persidangan yang diadakan pada 30 November 1945, dasar membentuk Melayu Raya atau Indonesia Raya, telah dimasukkan sebagai salah satu matlamat perjuangan PKMM. Malah dasar ini memang sengaja ditonjolkan begitu hebat oleh Ahmad dan kumpulannya demi untuk mengelakkan pandangan orang ramai terhadap penguasaan PKM dalam PKMM. Ini juga telah membolehkan runan Indonesia yang menetap di Tanah Melayu.

Ahmad disokong oleh PKM. PKM telah membangkitkan pula soal tidak demokratik UMNO kerana memberi dua sahaja undi kepada PKMM, seperti persatuan negeri-negeri Melayu yang lain, yang dikatakannya lebih kecil daripada PKMM. PKM juga menuduh UMNO sebuah parti yang konservatif dan tidak menggunakannya sebagai biasiswa kepada anak-anak Melayu, dianggapnya remeh.

Kerajaan British telah meyokong UMNO. Bagi kerajaan British, UMNO adalah sebuah parti politik yang lebih sederhana, tidak dipengaruhi sebarang unsur luar yang mengancam kedudukan politik dan ekonominya serta tidak mempunyai sejarah penentangan terhadap pihak British, seperti PKMM yang dipimpin oleh beberapa orang bekas anggota KMM. UMNO juga direstui oleh raja-raja Melayu yang merupakan lambang ketuanan orang Melayu. Sokongan raja-raja Melayu kepada UMNO sangat penting diakui kerana raja-raja Melayu merupakan ketua kerajaan negeri yang membuat perjanjian dengan kerajaan British. Kebijaksanaan UMNO menarik raja-raja Melayu memihak kepada mereka telah memerangkap kerajaan British untuk mengakui kepentingan UMNO.

Sekali lagi Ahmad Boestamam dan PKMM telah dipengaruhi oleh PKM untuk menubuhkan PUTERA, sebagai satu badan radikal Melayu yang besar bagi bergabung dengan AMCJA, sebuah gabungan parti politik bukan Melayu yang juga dipengaruhi oleh PKM. Kedua-dua organisasi kemudian menjadi penentang yang penting kerana telah mengeluarkan Perlembagaan Rakyat sebagai satu perlembagaan pilihan kepada orang ramai, selain Perjanjian Persekutuan 1948 yang disediakan oleh UMNO raja-raja Melayu dan kerajaan British.

Dengan mempunyai satu dasar yang tidak bertumpu kepada kepentingan orang Melayu sepenuhnya, bererti Ahmad Boestamam dan PKMM telah bertentang arus dengan nasionalisme Melayu pada tahun 1946. Ini kerana penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union adalah kemuncak gerakan nasionalisme mereka selama ini. Gerakan nasionalisme Melayu yang bermula begitu lambat dan tidak begitu mencabar kerajaan British telah menjadi cukup tegang dengan pengenalan Malayan Union. Ini kerana gerakan anti-Malayan Union itu telah membangkitkan kesedaran politik yang cukup jelas sehingga melibatkan kaum wanita yang selama ini tertutup dengan peranan tradisional mereka. Pengenalan Malayan Union telah menyatupadukan orang Melayu, bukan sahaja di kalangan rakyat tetapi juga raja-raja Melayu dan para pembesar tradisional yang selama ini terpisah dengan rakyat jelata. Penentangan itu merupakan satu gerakan yang telah mencabar kerajaan British sehingga terpaksa tunduk kepada kehendak mereka.

Pada Februari 1946, ketika semangat menuntut kemerdekaan sedang meluap-luap, Ahmad bersama dengan Dr Burhanuddin Al Helmi juga menubuhkan Angkatan Pemuda Insaf (API), sebuah pergerakan kiri yang radikal di Malaya dan memimpinnya sehingga pertubuhan itu diharamkan oleh pihak British.

Penangkapan Ahmad pada bulan Julai tahun 1948 membekukan kegiatan politik Ahmad untuk satu tempoh yang panjang, iaitu selama tujuh tahun. Beliau terpaksa ditahan begitu lama kerana berbahaya kepada keselamatan politik British di Tanah Melayu dan kawasan sekitarnya, iaitu Nusantara. Pengisytiharan undang-undang darurat juga digunakan untuk kerajaan British mengawal anasir PKM dan sekutunya, termasuk PKMM dan anak buahnya. Ahmad dianggap sebagai sebahagian daripada tenaga penggerak yang berbahaya. Beliau ditahan oleh British dua kali. Kali pertama sejurus sebelum kedatangan Jepun pada tahun 1941 selama tiga bulan.

Parti Rakyat Malaya telah menjadi parti politiknya yang pertama sebaik-baik sahaja beliau dibebaskan pada tahun 1955. Beliau telah menjadi pemimpin pembangkang Melayu dengan menggunakan ideologi sosialisme-marhaenisme ciptaan Sukarno. Dengan bekerjasama dengan Parti Buruh Malaya, beliau berjaya membentuk Socialist Front (SF) yang akhirnya menjadi salah satu parti pembangkang yang terkenal selepas kemerdekaan Tanah Melayu.

Pilihan raya tahun 1959 telah memberi satu pengiktirafan kepada kegiatan politik Ahmad selama ini. Beliau telah memenangi kerusi parlimen Setapak di bawah tiket Socialist Front. Dengan itu, Ahmad telah menjadi salah seorang anggota pembangkang yang disegani, bersama-sama dengan tokoh-tokoh nasionalis dan politik Melayu yang lain seperti Dato' Onn Jaafar, Dr. Burhanuddin, Khadijah Sidek, Zulkifli Mohammad dan Othman Abdullah. Tokoh-tokoh pembangkang bukan Melayu yang handal seperti Dr. Seenivasagam, Tan Chee Koon dan Lim Kean Siew telah berganding bahu dengan Ahmad dan rakan-rakan yang lain. Kehadiran Ahmad Boestamam dan kawan-kawannya itu menjadikan kerajaan perikatan terpaksa bekerja keras untuk menentang mereka di Dewan Rakyat. Kehadiran mereka memang sangat menarik dalam sejarah politik berparlimen di Malaysia.

Ahmad ditangkap pada tahun 1963, buat kali ketiga dalam sejarah hidup politiknya. Pada kali ini Ahmad ditangkap oleh kerajaan yang dipilih oleh rakyat sendiri selama empat tahun. Alasan kerajaan Perikatan ialah kerana Ahmad terlibat dalam usaha Indonesia menentang gagasan Malaysia yang sedang diusahakan oleh Tunku Abdul Rahman, ketua kerajaan Perikatan dan Perdana Menteri Malaysia. Ahmad dituduh bekerjasama dengan Parti Komunis Indonesia (PKI) dan terlibat dalam pemberontakan Brunei pada tahun 1962. Tuduhan ini sangat menarik kerana ia menimbulkan dua gambaran yang sangat penting. Pertama, ternyata Ahmad seorang penyokong Indonesia yang sangat setia dan tetap. Kedua, penonjolan satu penglibatan politik Ahmad yang menyeluruh Kepulauan Melayu atau Nusantara. Ini bermakna bahawa Ahmad mahu menjadi juara Melayu Raya.

Penglibatan Ahmad dalam politik Malaysia menjadi hambar selepas itu. Beliau tidak lagi berkesan walaupun cuba bangun memimpin parti politik yang baru dan bekerjasama dengan tokoh-tokoh bukan Melayu. Beliau terpaksa membawa diri ke Sarawak dengan menjadi pembantu Datuk Patinggi Abdul Rahman Yaakub dan penulis akhbarnya. Oleh sebab itu, Ahmad dianugerahi gelaran "Datuk" oleh Gabenor Sarawak. Walaupun gelaran itu satu pengiktirafan kepada peranannya selama ini dalam kegiatan politik Malaysia sebelum perang dan selepas merdeka. Ia sebenarnya satu ironi kepada ideologinya yang radikal selama ini. Akhirnya, Ahmad mengakui sistem tradisional Melayu yang masih bersifat feudalisme.

Ahmad mengakhiri sisa-sisa hidupnya dengan menjadi penulis bebas di akhbar-akhbar sebagai perintang waktu dan sedikit pendapatan untuk menyara kehidupannya. Dua tahun selepas menunaikan fardu haji, beliau meninggal dunia pada tahun 1983 kerana penyakit barah paru-paru. Dengan itu, maka tamatlah perjalanan hidup seorang tokoh politik yang sangat dinamik dan menarik yang telah memberi warna-warna garang dan terang serta corak yang berliku-liku dalam kehidupannya dan politik Malaysia khasnya. Kepentingan beliau dalam sejarah politik Malaysia tidak akan dilupakan.


Isnin, 14 September 2009

BANJIR DI TANJONG MALIM ERA 70AN



*Ihsan dari Masjid Tanjong Malim

PERTABALAN SULTAN PERAK

ISTIADAT PERTABALAN JIN (TABAL JIN)



TABAL JIN adalah merupakan suatu istiadat turun temurun bagi Salahsilah Kesultanan Perak.Cuma di Negeri Perak ini sahaja yang ada istiadat TABAL JIN didalam Tanah Melayu ini. Negeri Perak merupakan salah satu negeri yang tertua dirantau ini dan Sultan yang memerintah biasanya didampingi oleh JIN-JIN Islam. Disini lah kita akan melihat kedaulatan seseorang Sultan itu dimana baginda akan di NOBATKAN dahulu sewaktu hari pertabalan baginda. Istiadat Tabal Jin ini biasanya dilakukan pada sebelah senja/malam dan diterangi hanya oleh dian (lilin) sahaja.

Istiadat TABAL JIN dimulakan dengan paluan NOBAT DIRAJA pada sabelah senja sehari selepas Istiadat TABAL ADAT disempurnakan. Istiadat ini dilakukan pada waktu malam.

Selepas Jejawat Berlembing dan Jejawat Berpayung Ubur serta Jejawat Perempuan, memegang kaki dian dan Bentara Perempuan membawa Perkakas Istiadat Merenjis mengambil tempat masing-masing didalam Balairong Seri didahului oleh Panglima Dalam dan diapit oleh Panglima Perang Kanan dan Panglima Perang Kiri, dan dibelakang nya Pawang DiRaja menatang akan PEDANG CURA SIMANJA KINI, bersama Toh Seri Nara DiRaja menatang PONTOH BERNAGA dan PONTOH ULAR LIDI diatas talam berlapikkan kain kuning dan diikuti olih Sida-Sida. Biduanda-Biduanda menatang PERKAKAS KERAJAN masuk ke Balairong Seri dan diletakkan kesemua diatas meja yang disediakan di iringi dengan paluan NOBAT.

Selepas itu Pawang DiRaja dengan menatang PEDANG CURA SIMANJA KINI dan Toh Seri Nara DiRaja menatang PONTOH BERNAGA dan PONTOH ULAR LIDI keluar dari Balairong Seri didahului oleh Panglima-Panglima masuk ke Kamar Persenangan lalu mempersembahkan kepada Kebawah Duli Paduka Seri Sultan. Baginda kemudian diiringi berangkat ke Balairong Seri dengan iringan paluan NOBAT 'Raja Berangkat'.

Apabila sampai di Singgahsana, Baginda Sultan akan bersemayam diatas 'Chior Keemasan' yang disediakan dihadapan Singgahsana. Kemudian Pawang DiRaja mengadap dan mempersembahkan PEDANG CURA SIMANJA KINI kepada Baginda Sultan yang akan meriba Pedang tersebut. Selepas itu PERKAKAS KERAJAN dibawa mengadap oleh Sida-Sida dan Biduanda-Biduanda kehadapan Baginda Sultan. Kemudian dikuti pula oleh Bentara Toh Ratna Senari dan Bentara Toh Ratna Wati masuk mengadap membawa PERKAKAS ISTIADAT MERENJIS dan dikuti pula oleh Toh Setia Guna (Ketua Nobat) bersama Ahli-Ahli Nobat DiRaja masuk ke Balairong Seri memohon limpah perkenan Baginda untuk meletak PERKAKAS NOBAT DIRAJA ditempat yang telah disediakan. Kemudian 'Istiadat Memulih' PERKAKAS KERAJAN dan PERKAKAS NOBAT DIRAJA dijalankan dan juga 'Merenjis Tepung Tawar'. Satelah selesai bacaan Doa Selamat disempurnakan oleh Sahibul Mufti Kerajaan Negeri Perak.

Satelah selesai upacara 'Memulih Perkakas Kerajan dan Merenjis Tepung Tawar', diikuti pula dengan 'Istiadat Bersiram Tabal' (Mandi Sampat) dimulakan di PANCA PERSADA. Baginda Sultan dan isteri akan berangkat dari Pintu Besar Istana. Pawang DiRaja memulakan 'Istiadat Mengelilingi Balai Panca Persada' sebanyak tujuh kali dan dibantu oleh Bomoh dan Pawang Tempatan dan Bentara-Bentara yang membawa 'Perkakas Merenjis'. Sepanjang keberangkatan Baginda NOBAT dipalu sehingga Baginda bersemayam diatas 'Perterakna Seri Panca Persada'.

Semua Putera dan Puteri baginda akan mengambil tempat di belakang Perterakna serta diringi oleh Y.Bhg.Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar DiRaja, Y.Bhg. Orang Kaya-Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar DiRaja dan Y.Bhg.Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan. Istiadat 'Merenjis Tepung Tawar' disempurnakan diikuti dengan bacaan Doa Selamat oleh Sahibul Samahan Mufti Kerajaan Negeri Perak.

Selepas itu 'Upacara Bersiram Tabal' (Mandi Sampat) pula dimulakan oleh Pawang DiRaja sendiri dari awal hingga akhir keatas Perkakas Istiadat Bersiram Tabal. Kain putih direntangkan dan daun nyiur muda bentuk jari lipan ditaruhkan keatas kain putih yang diregang dan dipegang oleh Toh-Toh Puan ditiap-tiap penjuru. Istiadat Bersiram Tabal dimulakan dengan mengambil sebatil GELUK berisi Air Datu dan dicurahkan keatas kain putih sehingga habis Enam Belas Batil GELUK yang berisi air. NOBAT dipalukan sepanjang Istiadat Bersiram Tabal. Satelah selesai Istiadat Bersiram Tabal, Baginda berdua akan menyalin pakaian dan berangkat turun dari Seri Panca Persada berselimut dengan 'Kain Benang Emas Kekuningan', dan diarak balik ke ISTANA.

Satelah menukar kepada Pakaian Kebesaran DiRaja, DYMM Paduka Seri Sultan Perak akan berangkat masuk ke BALAIRONG SERI (NOBAT dipalu) dan bersemayam diatas PETERAKNA SINGGAHSANA. Pawang DiRaja melulakan 'Istiadat Merenjis Air Panca Bicara' keatas PERKAKAS KERAJAN yang sedia ada terletak diatas meja dihadapan Singgahsana, 'Merenjis Tepung Tawar' ketasa Baginda Sultan dan diikuti dengan meletakkan 'BUNGA PENCAWA PENCARA' ditelinga Baginda

Pada waktu istiadat ini NOBAT DIRAJA akan memainkan lagu diantara empat hingga sembilan lagu. Toh Setia Guna (Ketua Nobat) akan memerhatikan gerak geri Paduka Seri Sultan ketika paluan NOBAT dipalukan. Dari sini, kedaulatan seseorang Sultan itu akan dapat d**etahui. Mengikut adat, sekiranya Baginda dapat bertahan lama diatas Singgahsana (iaitu dapat bertahan sehingga tujuh lagu keatas dipalukan oleh NOBAT) ini menunjukkan pertabalan Baginda telah direstui oleh JIN-JIN KERAJAN dan Baginda akan memerintah Negeri Perak ini lama atau pun panjang umur. Akan tetapi sekiranya Baginda hanya dapat bertahan empat atau lima lagu sahaja...petandanya umur Baginda mungkin pendek. Toh Setia Guna akan memberi isyarat kepada Ahli Nobat supaya memberhentikan paluan NOBAT apabila melihat Baginda Sultan dalam keadaan 'resah gelisah' diatas Peterakna Singgahsana.

Sewaktu NOBAT dipalukan, PEDANG CURA SIMANJA KINI akan 'bergerak-gerak' dengan sendirinya (dimana seakan-akan hendak keluar dari sarungnya). Ini menunjukkan JIN KERAJAN berserta dalam ISTIADAT TABAL JIN ini dan merestui pertabalan Baginda. Istiadat TABAL JIN selamat disempurnakan selepas upacara 'SANTAPAN NASI BERASTANOKA' dijalankan dengan bacaan doa selamat.

(Peringatan : Ada pun upacara 'Istiadat Tabal Jin' ini hendaklah disempurnakan mengikut Adat Istiadat Pertabalan yang asalnya....ia itu mengikut cara yang dilakukan dari turun temurun tanpa menukarkan ciri-ciri adat yang asal.... barulah sempurna dan dapat di ketahui sama ada direstui oleh JIN KERAJAN Perak yang akan mendampingi Baginda. Kalau tidak Istiadat Upacara tersebut hanya lah merupakan suatu Istiadat Biasa sahaja.... tiada berkerajan....)

Khamis, 30 Oktober 2008

Sejarah Awal Tanjong Malim


Tanjung Jambu 1790 – Kg Kubu 1870 – Tanjung Malim 1876

Tanjong Malim,asalnya bernama Tanjong Jambu, diterokai dan dibuka oleh sekumpulan enam orang pahlawan Bugis.

Ketua Tanjung Jambu dari tahun 1790 – 1870, bergelar menteri :

  • Dato’ Menteri Jamilin
  • Dato’ Menteri Katib b Dato’ Menteri Jamilin
  • Dato’ Menteri Doba Dato’ Menteri Katib
  • Dato’ Menteri Amin b Dato’ Menteri Doba
  • Dato’ Menteri Mat Taya b Dato’ Menteri Amin

Dato’ Hj. Mustapha b Raja Kamala adalah salah seorang ketua kaum Rao di Gali, Raub berhijrah ke Tg. Malim sekitar tahun 1870-1871. Ini adalah ekoran daripada perang saudara berlaku di Pahang semasa perebutan takhta Negeri Pahang antara dua anak Bendahara iaitu Wan Ahmad dan Wan Mutahir pada masa itu.

Beliau adalah pengikut Tok Gajah@Imam Perang Rasu. Diriwayatkan, memandangkan Rao sama Rao berbalah, beliau memohon keampunan daripada Bendahara Wan Ahmad mewakili orang Rao yang berada di Gali, Raub. Dato’ Hj. Mustapha berasa malu terhadap Tok Gajah dan beliau serta suku sakatnya dengan beberapa panglima yang setia berhijrah ke Bernam atau Tg, Malim.

Adalah diketahui Hj. Mustapha itu bergelar ‘TUN’ yang diberikan oleh Sultan Pahang semasa beliau berada di Pahang. Ini diriwayatkan oleh cicitnya Allahyarham Ahmad bin Yusof. Dato’ Hj. Mustapha juga dipanggil Penghulu Tua Tg. Malim kerana beliau yang tertua dalam kaum kerabatnya.

Diriwayatkan juga beliau menyuruh anak buahnya Panglima Kanan mengambil adik sepupunya seorang sahaja yang masih ada di Nagari Kota Raja, Rao iaitu Hjh. Rahmah Bt. Hj. Siun untuk dibawa ke Bernam atau Tg. Malirn. Panglirna Kanan berkahwin dengan Hjh. Rahmah. OIeh kerana Panglirna Kanan telah berkahwin dengan orang yang berasal dari Kg. Simpang Empat Tg. Malim Hjh. Rahmah membuat keputusan untuk tidak mahu dimadukan. Pergolakkan keluarga bermula. Panglima Kanan pun menceraikan isteri tuanya yang tiada mempunyai zuriat bersamanya.Bermakna adalah Dato’ Haji Mustapha sepupu dengan Hj Abas b Hj Siun dan Hjh Rahmah bt Hj Siun, artinya isteri Hj Siun adik beradik dengan isteri Raja Kamala.

Oleh yang demikian, Dato’ Hj. Mustapha memerintahkan supaya Panglima Kanan berhijrah ke seberang Sungai Bernam dimana Panglima Kanan membuka Kalumpang pada tahun 1883 atau sebelumnya. Nama Kalumpang ini diambil sempena nama sebatang pokok yang bernama pokok Kelumpang dan di kawasan itulah Panglima Kanan mendirikan rurnahnya, masjid dan lain-lain dengan pengikutnya. Tempat itulah pekan Kalumpang sekarang.

Pada masa itu juga Bernarn atau Tg. Malim adalah di bawah pemerintahan Selangor. Dato’ Hj. Mustapha dilantik sebagai Penghulu Bernam atau Tg. Malim yang pertama dan Panglima Kanan pula dilantik menjadi assistant Penghulu Bernam. Kalumpang pada masa itu adalah di bawah jajahan Tg. Malim. Di sinilah kaitan Tg. Malirn dan Kalunipang pada zaman tersebut.

Apabila sempadan negeri Perak dan Selangor ditetapkan mengikut sungai. Tg. Malim jatuh dalam pemerintahan negeri Perak dan Kalumpang pula berada di bawah pemerintahan Selangor sehingglah kini. Untuk mengingati atau mengenang jasa Dato’ Hj Mustapha, kerajaan Perak sudi dan bersetuju atas permintaan kaum kerabatnya menamakan jalan di kawasan Kg. Kubu itu laitu berhampiran kawasan stesen bas lama Tg. Malim, dinamakan Jalan Hj. Mustapha Bin Raja Kamala yang ada pada han ini.

Adalah dimaklumkan makam Allahyarham Dato’ Hj. Mustapha adalah berhampiran dengan makam Tuan Sheikh Ismail Naqsyabandy ar-Rawi di perkuburan CABANG, Tg. Malim. Adalah dimaklumkan juga ada suatu ketika dikhabarkan oleh penduduk Tg. Malim dan Kalumpang, Almarhum Sultan Abu Bakar Pahang pernah menziarahi kubur Dato’ Hj. Mustapha tanpa protokol di mana orang Tg. Malim dan Kalumpang berasa hairan mengapa Baginda ziarah? Jawabnya adalah kerana Tun Dato Hj. Mustapha pernah jadi ketua orang Rao di Gali dan pengikut setia Tok Gajah. Airnarhum Sultan Abu Bakar datang ke Tg. Malim untuk menghormati kesetiaan beliau semasa moyangnya Sultan Ahmad Shah pada zaman tersebut.

1876 – 1898

Yang Berusaha lagi Bijaksana Dato’ Penghulu Haji Mustapha b Raja Kamala yang berasal dari Kota Raja, Rao Mapat Tunggul Sumatra Barat, Penghulu yang pertama Kg Kubu.

Gambar lama UPSI